WAFDUL AMIN : TRADISI, EKSPRESI, SINERGI
Oleh: Mohd Hasni Bin Mohamed dan Nik Wan
Nurnajmah Bt Wan Ramli
Penubuhan Wafdul Amin yang bermaksud
wakil atau Duta Al-Amin adalah sebagai satu wadah untuk merealisasikan misi dan
visi sekolah melalui pendidikan yang tidak formal tetapi praktikal dan
bersepadu. Program yang sudah menjadi amalan yang sebati dalam kalangan warga
Al-Amin ini digarap untuk menyerlahkan potensi diri pelajar dalam medan dakwah
ke tahap yang paling optimum berwahanakan aktiviti kemasyarakatan sebagai
inisiatif untuk mentransformasikan segala bentuk ilmu dan tarbiyyah yang
dipelajari di sekolah ke dalam cara hidup yang sebenar dengan berpaksikan
”nilai” dan prinsip asas yang diimani sehingga melahirkan tindakan ”dari dalam ke
luar”. Apabila dapat disinergikan kesatuan hati, keupayaan akal dan kekuatan
tenaga yang ada, insya-Allah matlamat tentunya lebih mudah diraih.
Program ini bertujuan untuk melatih pelajar mengendalikan organisasi untuk
melaksanakan sesuatu program. Ia akan memberi satu pendedahan kepada pelajar,
serta memahami cabaran kehidupan jauh
dari bandar
Untuk menyediakan pelajar menganjurkan program ini, semasa di Tingkatan
Satu, sekolah akan mengadakan
Perkhemahan Kem Asas sebagai program perintis untuk mendedahkan pelbagai
kemahiran asas kepada para pelajar termasuklah ikhtiar hidup, ikatan,
pertolongan cemas, pertahanan diri, membina gajet, kawad kaki, dan sebagainya. Antara
nilai yang diterapkan dalam perkhemahan ini ialah disiplin diri, patuh kepada
ketua, cekal dan tabah menghadapi cabaran, bekerjasama, keyakinan diri, sanggup
berkorban, dan banyak lagi.
Ketika di Tingkatan Dua pula, program expedisi di dirangka untuk
memantapkan lagi kemahiran asas yang telah dipelajari semasa di Tingkatan Satu.
Antara tempat-tempat yang pernah dijelajahi ialah Gunung Senyum, Banjaran
Titiwangsa, Gunung Kinabalu, Gua Tempurung, dan beberapa tempat lagi yang
memang mencabar ketahanan mental dan fizikal. Tujuan pengembaraan ini adalah
untuk mendekatkan diri pelajar kepada Allah melalui renungan dan penghayatan
terhadap keindahan serta keunikan ciptaan-Nya. Melalui penjelajahan ini, para
pelajar dapat mengambil iktibar seterusnya meningkatkan tahap keimanan kepada
Allah swt.
Melangkah ke Tingkatan Tiga pula, para pelajar akan menjalani program Perkhemahan Uji Cekap. Dalam
perkhemahan ini, mereka akan diuji berdasarkan kemahiran yang telah dipelajari
semasa di Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua. Program ini membuka peluang untuk
para pelajar menilai kelebihan dan kekuatan masing-masing berdasarkan ujian yang dijalankan dan melakukan koreksi
diri untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan ke maqam yang lebih tinggi.
Seterusnya memasuki alam Tingkatan Empat, para pelajar akan menggalas
amanah yang lebih besar melalui program Wafdul Amin ini. Pelajar mestilahlah:
- Memilih tempat untuk melaksanakan
program ini. Tempat dipilih dengan pertolongan guru atau ibubapa. Tempat
dipilih mestilah diluluskan oleh Pengurusan sekolah.
- Memikirkan aktiviti-aktiviti yang
akan dilaksanakan semasa program nanti.Diantara aktiviti yang telah
dilaksanakan adalah :
i.
Gotong
royong sekitar kampung serta terlibat dalam menganjurkan jamuan perpisahan.
ii.
Motivasi
untuk murid sekolah rendah dikampung. Program ini dikendalikan oleh pelajar
tingkatan empat dan kadang kala di bantu oleh motivator jemputan.
iii.
Mengimarah
masjid/surau dengan menghidupkan solat berjamaah dan menganjurkan aktiviti
seperti qiyamullail. Pelajar biasanya diberi peluang oleh masyarakat kampung
untuk menjadi imam solat.
iv.
Dalam
masa yang sama,duta-duta Al-Amin ini tidak lupa untuk berdakwah bil hal iaitu
dengan menunjukkan teladan yang baik
yang telah dihayati sepanjang berada di Al-Amin
kerana ekspresi diri adalah cerminan yang menggambarkan peribadi
seseorang insan dan apa yang dianutinya.
- Menetapkan kos yang diperlukan
serta merancang dan merangka
aktiviti untuk mendapatkan jumlah kos tersebut. Biasanyanya sejak beberapa
tahun ini pelajar mengutip RM 40000.00 untuk program.Semua kos berkaitan
program mestiah dianggarkan kerana pihak sekolah tidak mengeluarkan
peruntukkan untuk program ini. Dana yang telah dikumpul akan diinfakkan ke
dalam program keluarga angkat ini. Bantuan
disalurkan kepada penduduk yang miskin, anak yatim, janda dan
sebagainya dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, menambah atau membaik
pulih prasarana, membekalkan pakaian dan makanan, dan macam-macam
lagi. Istimewanya, para pelajar
akan mengumpul dana yang diperlukan dengan hasil titik peluh mereka
sendiri. Di sini cabaran sebenar bermula. Mereka akan merangka pelbagai
program yang bukan sahaja bermotifkan keuntungan duniawi tetapi diselitkan
juga agenda untuk mengumpul saham ukhrawi. Dalam kesibukan merancang dan
mengendalikan program, niat sentiasa diperbaharui untuk memastikan hati
sentiasa berada di atas landasan keikhlasan berbakti kerana Allah dan
ukhwah yang terjalin antara mereka tetap utuh merentasi pelbagai masalah
dan kerenah yang timbul.
Antara tempat-tempat yang pernah dikunjungi ialah Kuala Berang, Terengganu,
Batu Pahat, Johor, Beseri, Perlis, Kota Kuala Muda, Kedah, Tasik Gelugor,
P.Pinang. Destinasi seterusnya pada tahun ini ialah Pulau Tuba, Langkawi.
Melalui program Wafdul Amin ini, pelajar Tingkatan Empat mampu melatih diri
dalam berorganisasi seperti:
- Menghadapi berbagai karenah manusia
dalam organisasi.
- Membentuk dinamik kumpulan dan
meningkatkan motivasi serta memberi dan menaikkan semangat kepada ahli
yang mungkin mula lemah semangat menghadapi cabaran yang dilalui.
- Koordinasi dengan sekolah dan
penduduk kampung terpilih dalam perancangan program serta lebih memahami
berinteraksi bersama penduduk kampung yang lain latar belakangnya dengan
pelajar Al Amin.
- Mencari dana serta menguruskan
kewangan dengan baik supaya duit mencukupi untuk melaksanakan program dengan baik.
- Membentuk kepimpinan pelajar yang
terpilih mengetuai mana-mana biro dalam projek ini.
Rasionalnya, semua program yang telah dirangka oleh pihak sekolah ini
adalah untuk melahirkan generasi soleh wa musleh yang akan meneruskan
kesinambungan dakwah dan tarbiyyah yang menjadi nadi Al-Amin dari dulu hingga
sekarang. Sekiranya semua program tersebut dihayati sepenuhnya,
insya-Allah ianya akan membantu mencapai
misi dan visi sekolah dengan izin-Nya.
No comments:
Post a Comment