1.0 Muqadimah
Sekolah sentiasa berusaha dengan penuh komitmen dan dedikasi untuk melahirkan pelajar cemerlang yang soleh wa musleh.. Usaha ini juga memerlukan kerjasama yang erat antara ibubapa serta sekolah dalam melaksanakan tindakan-tindakan untuk mempastikan persekolahan anak-anak di Al Amin mengeluarkan hasil yang dikehendakki.
Sudah tentulah dalam usaha Melahirkan Pelajar Soleh wa Musleh, bukan sahaja unsur akademik yang ditekankan , tetapi unsur Tarbiyyah juga memainkan peranan yang penting kerana kegagalan sistem pentarbiyyahan tidak akan menjayakan peryataan misi Pusat Pendidikan Al Amin. Sekolah diharap dapat memacu masyarakat (irsyaad syu’bi) iaitu warga Al-Amin yang lebih Islami seterusnya ke masyarakat sekeliling.
Wasilah Tarbawi yang dilaksanakan adalah lebih berbentuk umum dan kekerapan program ini dilaksanakan secara mingguan, bulanan dan juga tahunan. Setiap program Tarbawi yang dilaksanakan mempunyai objektif-objektifnya dan sasaran tersendiri bagi membentuk peribadi-peribadi Muslim dengan kaedah pengisian serta hebahan umum melalui saluran rasmi media cetak kepada warga Al-Amin seluruhnya. Setiap silibus-silibus yang dilaksanakan adalah seperti yang ditetapkan oleh pihak sekolah untuk mencapai objektifnya.
Antara program Tarbawi yang dilaksankan di SMIAAG adalah Usrah,Tamrin, Iftar, Wafdul Amin, Dauroh, Mukhayyam, Program Jumaat untuk banat serta kempen-kempen sempena peristiwa Islam seperti Maulidur Rasul, Ihya Ramadhon, Minggu al-Quds,.
2.0 Laporan Program Tarbiyyah
2.1 Usrah
Terdapat kumpulan – kumpulan usrah banin dan usrah banat dibahagikan mengikut tahap dan juga tingkatan. Usrah dilaksanakan selama 1 ½ jam setiap minggu dan dijadualkan dalam jadual waktu sekolah.
2.2 Iftar (Berbuka Puasa Sunat)
2.2.1 Iftar atau berbuka puasa sunat diadakan sekali setahun bagi setiap Tingkatan. Maka ia dianjurkan sebanyak 5 kali setahun. Tujuan diadakan ialah menggalakkan amalan ibadah Puasa Sunat pada Isnin atau Khamis setiap bulan. Semasa hari yang disunatkan berpuasa kantin tidak dibenarkan menjual makanan kepada murid.
2.2.2 Diisi dengan pengisian tentang adab-adab puasa atau fadhilat puasa sunat sama ada melalui permainan yang menarik minat(interaktif) pelajar dalam memahaminya atau ceramah.
2.2.3 Memupuk nilai ukhuwwah sesama pelajar dan membina semangat setia kawan dan kerjasama bergotong-royong bagi menyiapkan makanan untuk berbuka.
2.3 Tamrin ( 3 hari 2 malam)
2.3.1 Program Tamrin dilaksanakan sekali setahun bagi setiap Tingkatan. Maka ia dianjurkan sebanyak 5 kali setahun. Tujuan diadakan ialah untuk melatih pelajar-pelajar SMIAAG dengan amalan serta adab Islami yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Juga membentuk nilai peribadi-peribadi soleh yang ditetapkan
2.3.2 Program Tamrin juga diisi dengan pengisian yang hendak mencapai syarat serta objektif silibus mereka mengikut tingkatan. Contoh tema-tema objektif mengikut tingkatan adalah seperti berikut:
Tingkatan | Tema | Objektif |
Satu | Ukhuwwah Islamiyyah | -Mengeratkan ukhuwwah sesama pelajar (3T-Ta’aruf, Tafahum, Takaful) - Memperkenalkan Adab-Adab Islami Pelajar SMIAAG |
Dua | Aqidah Islamiyyah | -Ma’rifatullah (Mengenal Allah) - Mengambil Allah sebagai al-Illah |
Tiga | Akhlaq Islamiyyah | -Hablum minnallah wa Hablum minan naas - Mencari Mardhotillah (keredhoan Allah semata-mata) |
Empat | Fikrah Islamiyyah | -Bahaya Perang Pemikiran serta kembali pada Jahiliyyah - Mempercayai Islam akan gemilang semula |
Lima | Dakwah Islamiyyah
| -Peranan pemuda dalam berdakwah -al-Islam huwal hal (Islam adalah penyelesaian segala-galanya) |
2.3.3 Objektif ini dipilih berdasarkan keperluan mengikut kematangan dan pemikiran mereka serta tempoh penghayatan mereka mengikuti Tarbiyyah di SMIAAG, juga keperluan semasa bagi melatih para peserta.
2.3.4 Pemantauan guru memainkan peranan penting bagi memastikan kelicinan dan kelancaran program menepati objektif yang hendak dicapai.
2.4 Kempen Minggu Muhammad Qudwatuna
2.4.1 Kempen ini adalah bertujuan untuk menanam kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sempena Maulidur Rasul. Kempen ini juga menyedarkan warga Al-Amin tentang isu-isu semasa umat Islam sedunia hari ini yang kian jauh dari pegangan al-Quran dan as-Sunnah sepertimana yang menjadi objektif para kuffar untuk mengalahkan umat Islam.
2.4.2 Program ini berlangsung selama seminggu dengan diisi pertandingan-pertandingan, kuiz, ceramah sempena kempen ini, poster-poster dan lain-lain.
2.5 Kempen Ihya Ramadhan
2.5.1 Kempen ini adalah memupuk kesedaran tentang kepentingan untuk menjaga peribadi kerohanian setiap warga Al-Amin terutamanya di dalam bulan Ramadhan.
2.5.2 Menerapkan fadhilat-fadhilat pada setiap ibadah yang dilakukan di bulan Ramadhan sebagai motivasi untuk meneruskan lagi amalan sunat mahupun fardhu pada bulan-bulan selain Ramadhan.
2.5.3 Menghidupkan Ramadhan dengan ber’iktikaf, mengkhatamkan al-Quran, iftar jamai’e, bertilawah, qiyamullail, solat tarawikh, dan sebagainya.
2.5.4 Program diteruskan dengan iktikaf pada penghujung Ramadhan dimana murid setiap tingkatan akan secara bergilir beriktikaf dari pagi sehingga keesokannya di surau pada hari- hari yang ditetapkan untu tingkatannya.
2.6 Kempen Minggu al-Quds
2.6.1 Kempen ini adalah untuk memberi kesedaran tentang memperingati perjuangan pembebasan Saudara se-Islam di Palestin. Kempen ini juga memberikan informasi tambahan lagi terkini kepada warga Al-Amin tentan situasi Palestin hari ini serta mengetengahkan permasalah-permasalah dunia Islam hari ini dan keperluan kita untuk menghadapinya. Banyak aktiviti yang disediakan seperti membuka gerai-gerai bagi menjual barangan yang menyumbang kepada dana Palestin, membuat aktiviti-aktiviti yang mampu meningkatkan kesedaran tentang perjuangan rakyat Palestin, tayangan video, pertandingan kuiz, dan banyak lagi.
2.6.2 Kempen in juga ada membuat kutipan Tabung Palestin yang dilancarkan dari awal tahun lagi untuk mengumpulkan dana bagi membantu rakyat Palestin dan diberikan pula melalui PACE untuk disampaikan kepada rakyat Palestin di sana pada hari memperingati Masjid al-Aqsa dibakar oleh musuh Islam pada setiap 21 Ogos. Jika hari berkenaan tidak sesuai mengikut calendar sekolah, maka tarikh kempen ini dianjakkan kepada masa yang berhampiran.
2.7 Wafdul Amin
2.7.1 Wafdul Amin adalah program bakti pelajar di kampung angkat sasaran dengan bertujuan menebar luaskan lagi peluang untuk pelajar berdakwah sambil berbakti kepada penduduk kampung sasaran. Program ini dikendalikan oleh murid tingkatan empat.
2.7.2 Murid mengambil tanggungjawab mengumpulkan dana untuk melancarkan program ini dari segi pengangkutan dan sumbangan untuk kebajikan kepada penduduk kampung sasaran itu nanti. Mereka berusaha sendiri mengumpulkan dana seperti mengambil upah membasuh kereta, membuat jualan dan sebagainya.
2.7.3 Terdapat kelebihan yang harus dibanggakan kerana keterlibatan ini, telah membuka mata para pelajar terhadap persepsi masyarakat kepada remaja Islam. Penerimaan mereka di kampung terpilih sebagai pendedahan terbaik untuk pengalaman dakwah kepada masyarkat luar bandar.
2.8 Dauroh
2.8.1 Dauroh iaitu kursus dalaman yang disampaikan dalam bentuk ceramah kepada para pelajar dalam kumpulan sederhana besar iaitu seramai 40 orang di dalam satu kumpulan.
2.8.2 Diadakan sebulan sekali setiap Rabu minggu kedua.
2.8.3 Tajuk-tajuk yang disampaikan adalah bertujuan untuk menampung tajuk-tajuk yang utama dan menjadi ilmu asas dalam agama. Penguasaan kandungan isi bahan serta penghayatannya akan melahirkan pengamalan ibadah yang ikhlas lagi sempurna menurut syara’.
2.8.4 Antara tajuk-tajuk yang disampaikan ialah:
2.8.4.1 Fiqh Toharoh
2.8.4.2 Fiqh Solat
2.8.4.3 Fiqh Puasa
2.8.4.4 Fiqh Zakat
2.8.4.5 Kepentingan Tarbiyah
2.8.4.6 Ikhtilat & Kelebihan Hijab
2.8.4.7 Isu-isu Palestin
2.8.4.8 Hak-hak asasi kemanusiaan di dalam Islam
2.8.4.9 Amal Jamaie
2.9 Program Jumaat
2.9.1 Program yang dilaksanakan pada waktu Solat Jumaat untuk pelajar banat sahaja.
2.9.2 Program Jumaat ini lebih memberi penekanan kepada ilmu-ilmu Fiqh Mar’ah (fiqh keperempuanan) dan isu-isu terkini wanita.
2.10 Mukhoyyam
2.10.1 Selalunya program ini dibuat dalam bentuk dakhiliy (dalaman) iaitu memberi penekanan kepada pembangunan fikrah dan ‘izzah kepada peserta dalam menghidupkan dan menggerakkan tarbiyah di SMIAAG.
2.10.2 Antara objektifnya adalah untuk membangun potensi penggerak dakwah dan juga melatih kemahiran-kemahiran bagi para Nuqoba’ dalam mengendalikan usrah di sekolah dan menanam keyakinan kepada peserta bahawa remaja seusia mereka mampu berdakwah.
2.10.3 Memberikan pendedahan tentang permasalahan umat ini dan suasana tarbiyah yang hendak dibina.
2.10.4 Kemahiran seperti “public speaking” juga didedahkan kepada semua agar selepas ini, peserta berani untuk berdakwah dengan memberi tazkirah atau berucap dengan lebih berkesan agar suasana dan usaha tarbiyah dan dakwah itu dapat disuburkan di SMIAAG.
2.10.5 Program ini juga memberi penekanan kepada penerusan tarbiyah selepas persekolahan terutamanya tamat peperiksaan SPM nanti. Juga dipampangkan program-program yang bakal dilaksanakan semasa cuti selepas SPM nanti seperti Madrasatul Hayah-Islah (MHi) anjuran JIM dan juga Program Latih Kader Du’at (LKD) anjuran MUSLEH.
3.0 Cabaran
3.1 Proses pentarbiyahan mesti dilaksana dan diuruskan oleh mereka yang telah melalui tahap yang hendak dibentuk. Diperingkat sekolah, tahap yang akan dilalui oleh murid adalah peringkat 01 dan 02 mengikut tahap JIM. Maka guru yang akan mengendalikan program sepatutnya berada ditahap 02 atau 03.
3.2 Namun untuk memastikan perkara ini sebagai syarat pengambilan guru adalah hampir mustahil kerana tidak ramai yamg mempunyai kelayakan tersebut memohon untuk menjadi guru. Guru yang sedia ada perlu di pertingkatkan tahap pentarbiyahan mereka supaya mereka layak untuk mengendalikan tarbiyyah di sekolah.
3.3 Alhamdulillah usaha sedang dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut, namun sekolah akan terus memerlukan bantuan untuk proses ini kerana secara sendirian mungkin sekolah tidak akan mampu meningkatkan tahap guru. Ini akan menyusahkan sekolah untuk mencapai matlamatnya.
3.4 Proses pentarbiyahan akan lebih berkesan jika elemen penting institusi pendidikan iaitu pelajar, guru-guru, pihak pentadbiran dan ibubapa dapat bekerjasama mendukung dan menjaga nilai tarbiyah yang akan membentuk bi’ah solehah untuk memudahkan pembinaan dan pembentukkan generasi soleh wa musleh.
3.5 Kasih sayang dan pemantauan ibubapa memainkan peranan penting dalam penerusan tarbiyah di dalam institusi pendidikan di rumah. Slogan “Rumahku Syurgaku” adalah slogan penting bagi setiap keluarga Al Amin dalam pembinaan jati diri anak-anak.
3.6 Membina sistem kerjasama sekolah dan ibubapa adalah suatu langkah yang strategik untuk mengukuhkan lagi penerusan tarbiyah pada anak-anak Al-Amin di fasa persekolahan ini, agar selepas mereka tamat persekolahan di SMIAAG, mereka sendiri yang akan merasa kepentingan untuk bersama-sama dalam penerusan tarbiyah nanti.
Oleh:
Mohd Hasni Bin Mohamed dan Mohd Syariffudin Bin Abu Kassim
4.0 Penutup
Sesungguhnya proses pentarbiyahan adalah berhubung dengan hati manusia dan sesungguhnya hati manusia adalah di dalam genggaman Allah SWT. Segala usaha, kerjasama, niat yang ikhlas dan segala sifat mahmudah diperlukan daripada semua pihak yang terlibat.
Semoga segala usaha dan perancangan kita dipermudahkan oleh Allah s.w.t dan mendapat keredhaan dan pertolongan daripada-Nya. Ini tidak bererti usaha dikurangkan kepada meletakkan harapan semata-mata, tetapi usaha yang digandakan dengan pengharapan dan doa daripada semua pihak. Moga selepas ini usaha yang berterusan ini akan dilipatgandakan dengan keazaman mendapatkan redho Allah.