Sekolah sekarang sibuk menerima borang permohonan kemasukan baru, terutamanya ke tingkatan 1. Dalam sistem sekolah ini, pemohon dikehendaki mengambil ujian kemasukan dahulu. Murid yang lulus ujian diberi borang permohonan. Sesiapa yang baru nak mohon kemasukan sekarang akan masuk senarai menunggu kerana bilangan murid yang diberi borang kemasukan telah melebihi kekosongan yang ada.
Pada ibubapa yang ingin memasuki anak ke sekolah swasta Islam, adalah diingatkan supaya menanya pihak sekolah tentang proses kemasukan sebelum pertengahan tahun lagi. Ini membolehkan ibubapa untuk merencanakan sambungan persekolahan anak selepas tamat darjah 6. Ibubapa seharusnya mendapat gambaran awal tentang apa yang akan diuji semasa ujian kemasukan supaya dapat menyiapkan anak untuk proses kemasukan.
Sekolah biasanya menutup permohonan agak awal. Perlu diingat di kebanyakan sekolah swasta Islam, tempat adalah terhad. Mereka terpaksa mengadakan ujian dan proses pemilihan kerana biasanya calon jauh lebih ramai dari tempat yang ada. Rasanya sekolah agama kerajaan lagilah ramai pemohon.
Ibubapa juga diingatkan untuk membuat penilaian dahulu sekolah yang ingin dihantar anaknya. Pergi sendiri ke sekolah dulu. Lihat persekitarannya, jumpa pentadbir dan gurunya, muridnya dan juga kaji sejarahnya.
Ibubapa juga hendaklah berbincang dan mendapat persetujuan anak untuk ke sekolah yang dipilih. Perlu diingatkan di sekolah Islam biasanya ada matapelajaran tambahan dan waktu persekolahan biasanya lebih dari sekolah kebangsaan. Anak mesti berminat, kalau tidak ianya akan menyusahkan proses pembelajaran anak anda.