Friday, April 10, 2020

Wafdul Amin


WAFDUL AMIN : TRADISI, EKSPRESI, SINERGI
Oleh: Mohd Hasni Bin Mohamed dan Nik Wan Nurnajmah Bt Wan Ramli
Penubuhan Wafdul Amin  yang bermaksud wakil atau Duta Al-Amin adalah sebagai satu wadah untuk merealisasikan misi dan visi sekolah melalui pendidikan yang tidak formal tetapi praktikal dan bersepadu. Program yang sudah menjadi amalan yang sebati dalam kalangan warga Al-Amin ini digarap untuk menyerlahkan potensi diri pelajar dalam medan dakwah ke tahap yang paling optimum berwahanakan aktiviti kemasyarakatan sebagai inisiatif untuk mentransformasikan segala bentuk ilmu dan tarbiyyah yang dipelajari di sekolah ke dalam cara hidup yang sebenar dengan berpaksikan ”nilai” dan prinsip asas yang diimani sehingga melahirkan tindakan ”dari dalam ke luar”. Apabila dapat disinergikan kesatuan hati, keupayaan akal dan kekuatan tenaga yang ada, insya-Allah matlamat tentunya lebih mudah diraih.

Program ini bertujuan untuk melatih pelajar mengendalikan organisasi untuk melaksanakan sesuatu program. Ia akan memberi satu pendedahan kepada pelajar, serta memahami  cabaran kehidupan jauh dari bandar

Untuk menyediakan pelajar menganjurkan program ini, semasa di Tingkatan Satu, sekolah akan  mengadakan Perkhemahan Kem Asas sebagai program perintis untuk mendedahkan pelbagai kemahiran asas kepada para pelajar termasuklah ikhtiar hidup, ikatan, pertolongan cemas, pertahanan diri, membina gajet, kawad kaki, dan sebagainya. Antara nilai yang diterapkan dalam perkhemahan ini ialah disiplin diri, patuh kepada ketua, cekal dan tabah menghadapi cabaran, bekerjasama, keyakinan diri, sanggup berkorban, dan banyak lagi.

Ketika di Tingkatan Dua pula, program expedisi di dirangka untuk memantapkan lagi kemahiran asas yang telah dipelajari semasa di Tingkatan Satu. Antara tempat-tempat yang pernah dijelajahi ialah Gunung Senyum, Banjaran Titiwangsa, Gunung Kinabalu, Gua Tempurung, dan beberapa tempat lagi yang memang mencabar ketahanan mental dan fizikal. Tujuan pengembaraan ini adalah untuk mendekatkan diri pelajar kepada Allah melalui renungan dan penghayatan terhadap keindahan serta keunikan ciptaan-Nya. Melalui penjelajahan ini, para pelajar dapat mengambil iktibar seterusnya meningkatkan tahap keimanan kepada Allah swt.

Melangkah ke Tingkatan Tiga pula, para pelajar akan  menjalani program Perkhemahan Uji Cekap. Dalam perkhemahan ini, mereka akan diuji berdasarkan kemahiran yang telah dipelajari semasa di Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua. Program ini membuka peluang untuk para pelajar menilai kelebihan dan kekuatan masing-masing berdasarkan  ujian yang dijalankan dan melakukan koreksi diri untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan ke maqam yang lebih tinggi.

Seterusnya memasuki alam Tingkatan Empat, para pelajar akan menggalas amanah yang lebih besar melalui program Wafdul Amin ini. Pelajar mestilahlah:
  1. Memilih tempat untuk melaksanakan program ini. Tempat dipilih dengan pertolongan guru atau ibubapa. Tempat dipilih mestilah diluluskan oleh Pengurusan sekolah.
  2. Memikirkan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan semasa program nanti.Diantara aktiviti yang telah dilaksanakan adalah :
i.                    Gotong royong sekitar kampung serta terlibat dalam menganjurkan jamuan perpisahan.
ii.                  Motivasi untuk murid sekolah rendah dikampung. Program ini dikendalikan oleh pelajar tingkatan empat dan kadang kala di bantu oleh motivator jemputan.
iii.                Mengimarah masjid/surau dengan menghidupkan solat berjamaah dan menganjurkan aktiviti seperti qiyamullail. Pelajar biasanya diberi peluang oleh masyarakat kampung untuk menjadi imam solat.
iv.                Dalam masa yang sama,duta-duta Al-Amin ini tidak lupa untuk berdakwah bil hal iaitu dengan  menunjukkan teladan yang baik yang telah dihayati sepanjang berada di Al-Amin  kerana ekspresi diri adalah cerminan yang menggambarkan peribadi seseorang insan dan apa yang dianutinya.
  1. Menetapkan kos yang diperlukan serta  merancang dan merangka aktiviti untuk mendapatkan jumlah kos tersebut. Biasanyanya sejak beberapa tahun ini pelajar mengutip RM 40000.00 untuk program.Semua kos berkaitan program mestiah dianggarkan kerana pihak sekolah tidak mengeluarkan peruntukkan untuk program ini. Dana yang telah dikumpul akan diinfakkan ke dalam program keluarga angkat ini. Bantuan  disalurkan kepada penduduk yang miskin, anak yatim, janda dan sebagainya dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, menambah atau membaik pulih prasarana, membekalkan pakaian dan makanan, dan macam-macam lagi.  Istimewanya, para pelajar akan mengumpul dana yang diperlukan dengan hasil titik peluh mereka sendiri. Di sini cabaran sebenar bermula. Mereka akan merangka pelbagai program yang bukan sahaja bermotifkan keuntungan duniawi tetapi diselitkan juga agenda untuk mengumpul saham ukhrawi. Dalam kesibukan merancang dan mengendalikan program, niat sentiasa diperbaharui untuk memastikan hati sentiasa berada di atas landasan keikhlasan berbakti kerana Allah dan ukhwah yang terjalin antara mereka tetap utuh merentasi pelbagai masalah dan kerenah yang timbul.
Antara tempat-tempat yang pernah dikunjungi ialah Kuala Berang, Terengganu, Batu Pahat, Johor, Beseri, Perlis, Kota Kuala Muda, Kedah, Tasik Gelugor, P.Pinang. Destinasi seterusnya pada tahun ini ialah Pulau Tuba, Langkawi.
Melalui program Wafdul Amin ini, pelajar Tingkatan Empat mampu melatih diri dalam berorganisasi seperti:
  1. Menghadapi berbagai karenah manusia dalam organisasi.
  2. Membentuk dinamik kumpulan dan meningkatkan motivasi serta memberi dan menaikkan semangat kepada ahli yang mungkin mula lemah semangat menghadapi cabaran yang dilalui.
  3. Koordinasi dengan sekolah dan penduduk kampung terpilih dalam perancangan program serta lebih memahami berinteraksi bersama penduduk kampung yang lain latar belakangnya dengan pelajar Al Amin.
  4. Mencari dana serta menguruskan kewangan dengan baik supaya duit mencukupi untuk melaksanakan  program dengan baik.
  5. Membentuk kepimpinan pelajar yang terpilih mengetuai mana-mana biro dalam projek ini.

Rasionalnya, semua program yang telah dirangka oleh pihak sekolah ini adalah untuk melahirkan generasi soleh wa musleh yang akan meneruskan kesinambungan dakwah dan tarbiyyah yang menjadi nadi Al-Amin dari dulu hingga sekarang. Sekiranya semua program tersebut dihayati sepenuhnya, insya-Allah  ianya akan membantu mencapai misi dan visi sekolah dengan izin-Nya.


Wednesday, April 8, 2020

sambungan

5. Guru guru nya

Guru adalah manusia yang paling penting di sekolah kerana mereka lah yang akan melaksanakan tugasan membentuk anak anda  ke tahap yang dipertsetujui bersama. Di sekolah baru anda akan berhadapan dengan guru yang tidak berpengalaman dan juga tidak terlatih. Untuk sekolah yang dah lama mungkin ramai guru yang dah beberapa tahun pengalaman dan melalui latihan latihan dalam perkhidmatan yang diadakan oleh sekolah.

Jika ada majalah sekolah terkini cubalah tengok senarai guru serta kelayakan mereka. Ini akan memberi gambaran keadaan guru . Kira jumlah guru untuk kita tahu samaada guru mencukupi atau tidak. Elok juga jika dapat mengadakan temubual dengan beberapa orang guru untuk menilai:

1. Adakah bilangan guru mencukupi. Tanya mereka tugasan mereka dan adakah mereka merasakan bilangan guru mencukupi. Kita kena ingat tugasan guru disekolah islam ini mungkin lebih berat dari guru sekolah kerajaan. Adakah . mereka gembira dengan tugasan mereka.

2. Tanya mereka tentang matlamat pendidikan di sekolah serta keyakinan mereka untuk mencapai matlamat tersebut. Tanya program program yang dilaksanakn serta kejayaaan program program tersebut.

3. Tanya mereka apa harapan sekolah pada ibubapa untuk membantu pendidikan anak anak. Ini akan memudah anda untuk berperanan membantu pendidikan anak semasa mereka berada di rumah.

4. Kalau boleh tanya juga anggaran gaji mereka kerana ini akan menentukan samaada guru akan mengajar dengan baik, atau guru asyik mencari kerja lain. Banyak pertukaran guru akan membantut perjalanan pendididkan anak anda.

5. Tanya juga bilangan pertukaran guru setiap tahun untuk menilai stabiliti sekolah tersebut. Jika banyak sangat pertukaran guru setiap tahun, ini bermakna sekolah ada masalah.


Dari gambaran yang telah diberikan oleh guru, dapat membantu anda untuk membuat penilaian pada sekolah. Jika guru nampak gembira dan seronok berada di sekolah, itu mremberi harapan pada pendidikan anak anda. Jika geu Nampak tidak berapa seronok dengan sekolah, mungkim anda perlu mencari sekolah lain untuk anak anda. Namun penilaian ini haruslah di buat apabila telah berbual dengan beberapa orang guru, jangan dengan seorang sahaja. Mana tau, guru seorang tu memang yang bermasalah di sekolah tu.

Monday, April 6, 2020

MEMILIH SEKOLAH ISLAM

sambungan


4. Prestasi Sekolah

Apabila hendak memulakan persekolahan anak, pilihlah sekolah yang dah lama beroperasi serta sah ada hasil yang telah dihasilkan. Ini membolehkan kita untuk menyemak hasil dapatan sekolah tersebut berbanding apa yang diiklankan.

Saya tidak akan mencadangkan seseorang untuk menghantar anaknya ke sekolah yang baru dibuka melainkan kita kenal betul dengan pengusaha sekolah tersebut dan yakin akan tercapai hasil yang dikehendakki. Beberapa masalah yang mungkin akan timbul dengan sekolah baru adalah:

1.     Kewangan
Isu kewangan adalah isu utama sekolah swasta. Kekurangan kewangan akan menyebabkan fasiliti sekolah kurang, gaji guru rendah yang boleh menyebabkan senangnya guru berhenti dan menimbulkan berbagai masalah dalam pembelajaran. Kemungkinan juga yuran akan kerap dinaikkan untuk menampung perbelanjaan.

2.     Guru
Oleh kerana ianya sekolah baru, boleh dikatakan gurunya tidak terlatih. Anda tidak ada sejarah sekolah untuk menilai kebolehan dan keberkesanan guru guru. Jadi anda letak anak dan berdoa lah untuk kebaikan anak.

3.     Pengurusan sekolah
Oleh kerana ianya baru, anda juga tidak tahu kemahiran pengurusan sekolah untuk mentadbir dan mengelola sekolah kearah kejayaan anak anda. Ada sekolah yang menjadi kelam kabut kerana kurangnya kemahiran dan pengalaman pengurusan sekolah, walaupun guru guru nya tidak bermasalah.
erlandaskan beberapa perkara diatas, amatlah tak wajar untuk anda jadikan anak sebagai bahan ujian sekolah baru.

Jadi, hendaklah anda mencari sekolah yang telah lama beroperasi dan senang untuk membuat penilaian

Untuk menilai prestasi, pertamanya anda mestilah melihat pencapaian peperiksaannya untuk beberapa tahun. Jika sekolah telah mengambil pentaksiran nasional seperti upsr, spkk, psra {PT3 dan SPM untuk sekolah menengah} adalah baik anda membuat analisis pencapaiannya untuk beberapa tahun dan nilai prestasinya. Anda sebolehnya tahu juga prestasi nasional supaya boleh membuat perbandingan yang wajar dan adil. Jika prestasi sekolah menurun bila prestasi nasional pun menurun, maka itu adalah keadaan biasa. Akan tetapi jika prestasi sekolah menurun semasa prestasi nasional meningkat, itu perlu diberi perhatian.

Jika prestasi menurun, tanya juga apakah tindakan tindakan yang telah diambil untuk membaiki reputasi sekolah.

Anda jangan hanya menilai prestasi akademiknya sahaja. Anda juga perlu menilai pencapaian akhlak, Quran, solat dan disiplin anak. Anda perlu berjumpa dengan beberapa murid darjah enam dan buat penilaian tahap pencapaian mereka. Selepas itu jumpa juga dengan beberapa orang ibubapa untuk mendapatkan komen prestasi anak anak mereka. Anda juga perlu bertanya prestasi disiplin terkini. Jika ada kes kes disiplin, cuba tanya bagaimana mereka menghadapi dan menyelesaikan kes kes disiplin yang ada.

Kes disipilin sekolah sekolah swasta kini menjadi heboh. Jadi anda perlu berhati hati. Kebanyakan sekolah mungkin tidak mempunyai guru yang berkelayakan dan ini merumitkan kes kes tertentu yang dihadapi oleh sekolah. Anda perlulah adil dalam membuat penilaian dan janganlah cepat sangat menuding jari kepada sesiapa.
Jika ada kes disiplin, buatlah penilaian yang adil. Janganlah kerana seorang je budak yang mungkin bermasalah, habis satu sekolah mendapat  penilaian yang tidak memuaskan.

Anda seharusnya menilai prestasi akademik, disiplin dan akhlak, Quran dan  kokurikulum . Penilaian ini senang dibuat untuk sekolah yang dah lama beroperasi. Namun jika sekolah baru pun anda perlu juga membuat penilaian yang lebih rapi kerana tidak ada sejarah untuk membuktikan pencapaian muridnya. Ada sekolah yang mungkin dah lama beroperasi dan sentiasa ada je permohonan, maka sekolah tidak pernah pedulipun prestasi pencapaian mereka. Anda kena berhati hati keranan anda ingin membentuk anak yang soleh dan tidak membuang duit.




Sunday, April 5, 2020

MEMILIH SEKOLAH ISLAM

sambungan


3.Kurikulum

Anda mesti menilai sistem kurikulum yang akan dilaksanakan di sekolah tersebut.  Untuk akademiknya biasa tiada masalah kerana kebanyakan sekolah akan melaksanakan kurikulum bersepadu kementerian pelajaran. Untuk subjek agama [dinniah] anda perlu teliti dan melihat apa yang akan diajarkan. Tengok silibusnya. Jika anda pun kurang arif tentang hal ini, bertanyalah pada kenalan atau ustaz ustaz yang anda kenal. Dalam masa enam tahun bersekolah {rendah} atau lima tahun {menengah} anda kena jelas tentang pembelajaran anak anak dan adakah ianya mencukupi atau anda perlu mencari tempat lain untuk tambahan. Jika sekolah mengikut sistem yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Agama dinegeri masing masing, maka itu sudah mencukupi untuk memuaskan diri anda. Masalahnya jika ada sistem sendiri yang dilaksanakan, anda perlu membuat penilaian yang lebih.

Lihat pula pada sistem Al Quran. Kaji sistem itu dan maklum tentang tilawah, tajwid, taranum jika ada, dan juga hafazan yang akan dilaksanakan. Jadi anda akan tahu berapa juzuk anak anda akan hafal melalui sekolah tersebut. Adalah diingatkan pada ibubapa bahawa mereka memainkan peranan yang amat penting dan bertanggungjawab untuk membantu anak mencapai tahap yang ditetapkan sekolah.

Dalam pembentukan akhlak dan syaksiah Islamiah, anda juga perlu bertanya bagaimana program sekolah untuk membentuk anak anak ketahap yang ingin dicapai.  Anda perlu tengok program seperti tamrin, qiamulail, usrah, perkhemahan dan program program lain dan lihat juga bila program ini dilaksanakan. Cuti sekolah, sabtu atau masa masa lain. Anda perlu tahu kerana anda perlu merancang pergerakan anak anda.

Anda juga mungkin perlu mengenali guru gurunya dengan lebih rapat kerana inilah kumpulan manusia yang akan membantu anda membentuk anak soleh. Bincanglah sasaran sekolah dalam membentuk anak soleh ini. Tanya bagaimana harapan sekolah bila anak muridnya tamat sekolah nanti. Ini akan memberi gambaran pada anda hasil pencapaian yang ingin di bentuk oleh sekolah selama enam tahun anak anda berada di sekolah rendah ini. Ia akan membveri gambaran pada anda hasil yang akan di dapatioleh anal anda setelah tamat persekolahan nanti.

Saturday, April 4, 2020

MEMILIH SEKOLAH ISLAM

sambungan


2  Infra sekolah

Pertamanya sebelum membuat pilihan, anda mestilah melawat sekolah dahulu.Apabila sampai di sekolah ( mesti pergi hari bersekolah), ada beberapa perkara yang perlu anda teliti.
Anda kena jelas rupa bentuk sekolah tersebut. Adakah bangunan yang digunakan itu kepunyaan sekolah atau di sewa. Kalau sewa, kena tahu siapa pemiliknya dan bagaimana perjanjian penyewaannya. Anda perlu tanya untuk memastikan kestabilan sekolah. Perlu tahu ada perjanjian penyewaan untuk berapa lama, kerana anda tak mahu lah atas sebab sebab tertentu penyewaan di tamatkan dan anak anda perlu berpindah, samaada kesekolah lain atau sekolah sama di tempat lain pula. Itu akan merumitkan pula isu pengangkutan jika ianya berjauhan dengan rumah anda.

Kalau sekolah nampak macam kecil sahaja, perlu bertanya kerana itu mungkin sementara sahaja. Sementara menanti bangunan baru yang akan di dirikan. Kalau bangunan sewa, perlu juga bertanya bila sekolah akan ada tanah dan bangunan sendiri. Masalah pendaftaran dengn Kementerian Pendidikan akan ada masalah jika sekolah yang berterusan menyewa sahaja.
Kalau bangunan sewa, anda perlu meneliti dan melihat kesesuaiannya sebagai sekolah dan juga persekitaran sekolah tersebut. Umpamanya jika sekolah menyewa rumah kedai, lihatlah sekeliling bangunan tersebut dan tanya dimana murid makan, bermain dan berehat. Makan, rehat dan bermain adalah penting untuk anak anak dan andamesti pastikan ianya bersesuaian untuk anak anda

Selesai bangunan, lihatlah bilangan pelajar di sekolah tersebut. Maklum berapa bilangan pelajar serta berapa bilangan kelas. Ini memberi jumlah pelar per kelas. Anda mesti mengira dengan jumlah tersebut, adakah bersesuain dengan yuran yang di bayar. Kelas dengan 20 orang murid amat berbeza dengan kelas yang mempunyai 40 orang murid. Tetapi, jika bilangan muridnya terlalu sedikit dengan yuran yang tidak mahal sangat,,jangan lah terlalu gembira. Semak prestasi kewangannya kerana mungkin terpaksa ditutup kerana  masalah kewangan. Mungkin juga sedikitnya bilangan pelajar memberi gambaran bahawa sekolah itu tidak diminati oleh ramai orang kerana sebab sebab tertentu..Bilangan yang sedikit per kelas boleh membuat pengajaran guru lebih tertumpu pada setiap peribadi dan ini bagus untuk pembelajaran anak anda. Kalau ramai sangat pun susah juga, kerana ianya akan menyusahkan guru untuk memberi perhatian dan tumpuan pada setiap murid. Namun kita selidik juga jika bilangan per kelas terlalu ramai. Ini mungkin kerana permintaan yang begitu banyak dan ruang sudah tidak mencukupi untuk menambah kelas. Itu juga memberi petunjuk bahawa sekolah itu memang di minati oleh ramai ibubapa. Mungkin juga perlu bertanya pihak sekolah jika murid terlalu ramai, tetntang perancangan masa depan. Adakah kelas akan bertambah atau kemasukan akan lebih ketat.

Lihat pula dimana padang permainan, jikaada. Padang terlalu hampir dengan kelas bermakna murid yang bermain akan buat bising dan menggangu pembelajaran  kelas berdekatan. Suasana seperti ini berlaku apabila ruang terhad.  Kesesuaian saiz padang juga perlu diambil kira untuk keselesaan murid bermain.

Pergi pula ke kantin. Kaji ruang kantin untuk bilangan pelajar yang anda telah ketahui. Kadang jika terlalu ramai, waktu rehat murid juga diasingkan. Contoh waktu rehat tahap 1 berlainan waktu rehat tahap 2. Lihat juga bagaimana pengasingan murid lelaki dan perempuan dilaksanakan. Tanyalah pekerja kantin bagaimana disiplin dan kawalan murid semasa rehat.

Lepas itu kena lihat fasiliti fasiliti lain di sekolah.
  1. Makmal Sains
Pergi dan nilai makmal. Lihatlah peralatan didalmnya, saiznya dan kesesuaian dengan bilangan pelajar per kelas.

  1. Makmal Bahasa
Tidak banyak sekolah yang ada makmal bahasa ni. Jika ada, lihatlah kesesuaian saiznya dengan bilangan pelajar. Jika ada perlu diberi markah bonus untuk penilaian anda.

  1. Makmal Komputer
Makmal komputer jika ada perlu dilihat saiznya serta penggunaan dan peralatan komputer yang ada. Jika ada mungkin juga boleh mendapat markah bonus dalam penilaian anda.

  1. Bilik Guru
Saiz dan keselesaan bilik guru mesti dinilai. Adakah ada tempat rehat guru serta lihat apa fasiliti yang ada di bilik guru seperti tandas, pantri, tempat rehat, tempat solat. Juga bagaiman pengasingan guru lelaki dan guru perempuan.
Lihat juga jika ada bilik mesyuarat guru. Jika tiada tanyalah dimana mesyuarat dilaksanakan.

  1. Tandas Yang Mencukupi
Kebiasaannya kemudahan tandas adalah 1 unit untuk 20 orang pelajar. Jadi kalau bilangan pelajar adalah 100 orang, sepatutnya ada sekurangnya 5 tandas. Jika berkurangan tanya lah pihak sekolah apa perancangan mereka seterusnya.

  1. Pusat Sumber
Lihatlah kesesuaian pusat sumber sekolah tersebut. Saiznya serta peralatan dan bahan dalam pusat sumber tersebut.

  1. Surau
Surau mesti ada untuk sekolah Islam kerana disitulah murd akan diajar bersolat, Lihatlah saiznya serta kemudahan yang ada. Sekolah biasanya mengasingkan pelajar tahap 1 dan tahap 2 bersolat. Mungkin juga solat di dewan serbaguna jika ruang menjadi masalah.

Infra sekolah yang baik akan membuat pembelajaran anak berjalan dengan baik. Jika infra kurang memuaskan, tanya sekolah tentang perancangan mereka untuk membaiki atau menambah fasiliti. Anda seharusnya ingat bahawa anak anda akan menghabiskan kebanyakan masa siangnya di sekolah. Jadi keselesaan anak disekolah itu amat penting.

Jika setelah diteliti infranya  memuaskan, maka bolehlah membuat penilaian lain pula. Jika penilaian ini gagal, dicadangkan untuk anda mencari sekolah lain.


Friday, April 3, 2020

MEMILIH SEKOLAH ISLAM


MEMILIH SEKOLAH ISLAM
sambugan

Dalam artikel ini kita bincang tentang pemilik sekolah untuk memudahkan kita memilih sekolah untuk anak,


1. Pemilkinya
Setiap sekolah Islam swasta mesti ada pemilik. Anda perlu kenalpasti dulu siapa pemiliknya. Biasanya individu, Pertubuhan Bukan Kerajaan [NGO] atau syarikat.

1.1 Individu
             Jika kepunyaan individu, anda sepatutnya tahu siapa individu tersebut. Anda mesti tahu dan kenal perwatakan dan kecenderungan nya. Ini adalah untuk memastikan apa yang akan diididik tu bersesuaian dengan kehendak diri. Anda tidak mahu nanti ada sesuatu yang pelik di ajar kepada anak anda yag mungkin tidak bersesuaian dengan cara  anda.
Saya dah mendengar bapa merungut zikir pelik pelik oleh anaknya. Bila ditanya anak memaklumkan zikir itu di ajar oleh guru di sekolah. Ada anak yg memarahi bapanya baca qunut semasa solat subuh kerana qunut itu bidaah menurut anaknya. Jika anda tahu trend sekolah, bolehlah anda bersedia untuk berbincang dengan anak nanti.
Anda juga perlu membuat semakan kewangan individu tersebut. Ini adalah untuk memastikan kestabilan perjalanan sekolah. Perjalanan sekolah memerlukan kewangan yang agak tinggi. Gaji guru, baikpulih alatan, perkembangan dan peningkatan fizikal sekolah memerlukan kewangan. Jika ada kekurangan akan mengakibat pembelajaran anak anda terjejas. Kekurangan kewangan akan menyebabkan gaji guru yang berkurangan. Ini akan menyebabkan guru keluar mencari kerja lain. Pertukaran guru yang kerap akan memberi kesan kepada prestasi pembelajaran anak anda

1.2 Syarikat
Kalau kepunyaan syarikat, kenalpasti siapa pemilik syarikat. Siasat status kewangan syarikat ini. Lihat juga aktiviti aktiviti syarikat untuk mengetahui apakah aktiviti utamanya. Kaji juga sokongan kewangan yang di perolehi syarikat. Ini perlu kerana sebagaimana telah dijelaskan bahawa pendidikan memerlukan sokongan kewangan yang banyak. Kajilah prestasi kewangan syarikat untuk beberapa tahun kebelakangan ini dan kaji juga aktiviti aktiviti pendidikan yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut

1.3 Pertubuhan Bukan Kerajaan [NGO]
Kalau sekolah kepunyaan NGO, kenalilah NGO tersebut. Lihat visi, misinya dan keahliannya serta sokongan masyarakat terhadap nya sejak kebelakangan ini. Kenali kefahaman yang di bawa serta trend pergerakannya. Jumpa lah ahli ahlinya dan adakan perbincangan untuk mengetahui dengan lebih terperinci organisasi tersebut. Jangan hanya baca apa yang tertulis sahaja. Bincang dan tanya ahli atau kepimpinan organisasi tersebut serta tanya tentang program pendidikan anjuran organisasi tersebut. Anda perlu tanya bagaimana NGO tersebut mengawal perjalanan sekolah. Biasanya mereka melantik ahli lembaga pengelola sekolah terdiri daripada ahli ahli mereka. Ahli lembaga penglola inilah mewakili NGO tersebut di sekolah.
Kalaulah dirasai perjalanan ngo ini amat baik dan bersesuaian dengan anda, mohonlah untuk menjadi ahlinya. Biasanya keahlian akan mendapat beberapa kelebihan. Ini akan memudahkan dan membantu proses kemasukan anak anda ke sekolah yang di pilih. Pertubuhan seperti  IKRAM dan ABIM dan beberapa pertubuhan lain mempunyai rangkaian sekolahnya sendiri.

Dengan membuat kajian seperti di atas anda akan lebih jelas halatuju sekolah yang hendak dipilih itu. Saya ingin mengingatkan ibubapa untuk berwaspada dengan sekolah yang baru hendak tubuh dan anak anda merupakan generasi pertama pelajarnya. Perkara ini saya bincangkan dalam topik prestasi sekolah.

Wednesday, April 1, 2020


MEMILIH SEKOLAH ISLAM

Setiap ibubapa mempunyai cita cita untk membentuk anak supaya menjadi anak yang soleh. Mereka akan berfikir cara cara yang perlu dilakukan untuk mencapai cita cita ini. Salah satu cara untuk membantu dalam usaha pembentukkkan anak soleh adalah dengan menyekolahkan di sekolah islam.
Anak anak perlu didikan akademik untuk mencari pengetahuan menjalan kan kehidupan dunia. Mereka juga perlu didikan agama, serta mengamalkannya untuk mencapai cita cita menjadi orang yang beriman dan bertakwa.
Salah satu daripada caranya ialah menyekolahkan anak dalam sistem pendidikan Islam. Kini banyak sekolah sekolah Islam swasta yang wujud serta ada juga beberapa sekolah kerajaan yang menawarkan sistem pendidikan islam. Namun oleh kerana keterhadan dan persaingan untuk kesekolah kerajaan, alternatif ke sekolah swata perlu difikirkan.
Oleh kerana terdapat banyak sekolah islam swasta, ibubapa seharusnya tahu bagaimana hendak memilih sekolah untuk anaknya, dan tidak hanya meletakkan pada mana mana sekolah yang ada tanpa membuat pilihan yang baik.
Sebelum itu ibubapa semestinya jelas arah pendidkan anaknya. Jika ibubapa seorang professional, apakah anaknya juga ingin dibentuk menjadi professional. Bagaimana dengan hafazan anaknya, menjadi hafiz atau sudah cukup jika menghafal beberapa juzuk al quran.
Ibubapa juga seharusnya jelas akhlaq yang hendak dibina pada anaknya supaya dia boleh hubungkan dengan sistem yang ada disekolah itu dan nilai samaada apa yang dikehendakki itu dapat dibentuk di sekolah tersebut.
Ibubapa juga seharusnya ingat bahawa tugas pendidikan anak adalah tanggung jawab ibubapa.  Jadi ibubapa mesti sentiasa bersedia membantu dalam pendidikan anak anak. Jangan lah letak seratus peratus pada sekolah dan ibubapa hanya menerima aje. Ibubapa mesti sentiasa berusaha supaya pengorbanan mesti berbaloi kerana jika memasuki sekolah swasta banyak juga jumlah wang yang mesti di korbankan. Jika ibubapa menghabikan sebanyak rm 500.00 sebulan untuk seorang anak, bermakna ibubapa akan menghabiskan rm 66000.00 selama 11 tahun persekolahan seorang  anaknya.
Menghantar anak ke sekolah swasta memerlukan komitmen dan pengorbanan masa, kewangan dan tenaga yang tinggi dan ibubapa mesti sentiasa bersedia untuk membantu anaknya. 
Anda perlu memilih sekolah terbaik untuk anak anda. Banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum membuat pilihan.

  Antara faktor yang yang perlu di nilai:
1. Pemiliknya
2. Inftra struktur dan fasilitinya
3. Kurikulum dan sistemnya
4. Prestasi sekolah
5. Guru gurunya
6. Yuran